11:07:00

Forum Kerelevanan SUPP pada 16 Mac - The Borneo Post Online


Forum Kerelevanan SUPP pada 16 Mac - The Borneo Post Online

Posted: 20 Feb 2014 08:07 AM PST

KUCHING: Pergerakan Belia Padungan dan Pusat Pertemuan Belia Kuching, dua pertubuhan bukan politik mengambil inisiatif menganjurkan Forum Kerelevanan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pada 16 Mac depan.

Pengerusi jawatankuasa penganjur forum berkenaan Ting Wei Tzen berkata, objektif utama forum yang julung kali diadakan di bandar raya ini dengan kerjasama SUPP Cawangan Kuching itu adalah untuk mengetahui adakah parti tersebut masih relevan atau sebaliknya.

"Kami mahu mengetahui dengan lebih lanjut mengenai senario politik di Kuching khasnya dan Sarawak amnya, dengan memfokus kepada SUPP. "Ini kerana di Kuching setiap kali menjelang pilihan raya memfokus kepada SUPP.

"Sama ada parti ini masih relevan atau sebaliknya di kawasan ini, Kuching khasnya diharap akan diketahui selepas forum ini nanti," katanya pada sidang media di sini semalam.

Ting menambah, forum itu dibuka kepada orang ramai tanpa mengira latar belakang sosial dan fahaman politik termasuk pelajar yang berminat membincangkan situasi politik di Sarawak serta kerelevanan SUPP dengan mengambil kira peranannya dalam politik, pendidikan, ekonomi dan budaya.

Beliau berkata pihaknya telah menjemput beberapa ahli panel terdiri daripada ahli akademik yang pakar mengenai dunia politik serta ketua-ketua masyarakat antaranya Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Fakulti Sains Sosial Dr Jeniri Amir yang akan bertindak sebagai moderator.

"Dalam forum ini terdapat beberapa kriteria dan perkara-perkara sensitif seperti keagamaan dan tiada serangan peribadi ke atas mana-mana individu atau parti kerana objektif utama kami ialah menyediakan satu platform rundingan bagi mengetahui dan berkomunikasi dengan komuniti lain.

"Umum sedia maklum ramai menganggap SUPP adalah parti Cina tetapi kerelevanannya tidak hanya untuk Cina, ia juga untuk kaum lain kerana kita tinggal dalam komuniti pelbagai kaum dan kita mahu melihat jika SUPP relevan kepada semua pihak," jelasnya.

Beliau memberitahu sekiranya forum ini berjaya dilaksanakan, ia akan diadakan di bahagian-bahagian lain di negeri ini bagi memahami isu-isu yang dihadapi masyarakat setiap hari seterusnya mencari penyelesaian terbaik.

Forum yang akan diadakan di Hotel Hilton Kuching katanya, dijangka dihadiri lebih 500 peserta dan setakat ini pihaknya menerima sambutan amat menggalakkan daripada orang ramai.

"Kami menjangkakan penyertaan untuk forum ini memberangsangkan berdasarkan panggilan yang diterima mahu mendaftar termasuk Yang Berhormat daripada kedua-dua kem politik (Barisan Nasional dan pembangkang).

"Cuma buat masa ini kita tidak dapat mengesahkan tempat mereka memandangkan ini adalah forum umum dengan tempat yang agak terhad, siapa cepat dia dapat," katanya.

Print Friendly