10:25:00

Sepuluh <b>hotel</b> terbaik <b>di Kuching</b>, <b>Sarawak</b> | Melancong.inSarawak.net


Sepuluh <b>hotel</b> terbaik <b>di Kuching</b>, <b>Sarawak</b> | Melancong.inSarawak.net

Posted: 13 May 2015 06:42 PM PDT

Jika anda ingin melancong ke Kuching, sudah pasti anda memerlukan tempat penginapan yang baik dan selesa.

Tetapi, tahukah anda hotel manakah yang bagus, ataupun yang terbaik? Di sini, kami membantu anda dengan menyenaraikan hotel-hotel yang kami ketahui dan memberikan input berdasarkan lokasi dan kelebihannya jika anda seorang pelancong di Kuching. (Kedudukan hotel adalah secara rambang).

#1 Pullman Kuching
Pullman Kuching
Hotel Pullman Kuching sememangnya amat terkenal kerana lokasinya yang terletak di puncak tertinggi di Bandaraya Kuching, sekaligus memberikannya pemandangan yang hebat.  Bukan sahaja itu, bahkan, hotel Pullman Kuching juga terletak di tengah-tengah Bandaraya Kuching dan ini memudahkan pelancong bergerak ke destinasi-destinasi popular di sekitar bandaraya.

#2 The Lime Tree Hotel
Lime Tree1
Hotel Lime Tree tidak kelihatan menarik dari luar namun pengunjung hotel ini sering memberikan komen yang baik mengenai perkhidmatan dan keluasan bilik yang ada di hotel ini.  Kebanyakan pengunjung yang menginap di hotel ini memuji bar 'rooftop' yang dimilikinya, di samping mereka juga berkata ianya terletak tidak jauh dari pelbagai tempat makanan yang harganya berpatutan.  Hotel ini terletak berdekatan Jalan Padungan yang popular dengan kedai-kedai membuat roti di Kuching.

#3 Hilton Kuching
Hilton Kuching
Hilton Kuching merupakan antara hotel tertua di Kuching dan ianya terletak bersebelahan Kuching Waterfront. Selain daripada servis yang kekal berkualiti, lokasinya yang berdekatan kawasan tengah bandaraya membuatkan ianya menjadi pilihan ramai pelancong.  Hilton Kuching juga merupakan satu-satunya hotel di Bandaraya Kuching yang mempunyai pemandangan tanpa halangan ke arah Sungai Sarawak yang terbaik jika dibandingkan dengan hotel-hotel lain yang berdekatan dengannya.

#4 Citadines Uplands Kuching
Citidines Kuching
Citidines Uplands menawarkan penginapan terbaik untuk pelancong yang datang dalam kumpulan yang besar kerana ianya adalah satu-satunya hotel yang menawarkan penginapan jenis apartmen.  Ianya terletak berdekatan pusat membeli belah The Spring dan bilik-bilik yang dibekalkan bersama setiap unit apartmen yang boleh disewa adalah besar dan bersih.  Di samping itu, Citidines Uplands juga terletak berhampiran beberapa pusat hiburan dan ianya juga hanya sekangkang kera dari beberapa lokasi makan tempatan yang harganya berpatutan.

#5 Permai Rainforest Resort
Permai
Permai Rainforest Resort terletak dalam 45 minit masa perjalanan dari Bandaraya Kuching.  Sungguhpun jauh dari Bandaraya Kuching, tempahan resort ini adalah baik kerana ianya memberikan satu kelainan kepada para pengunjungnya.  Di Permai Resort, pelancong boleh menikmati suasana tepi lautan dan kehidupan di tengah hutan hujan tropika pada masa yang sama.  Mereka juga boleh memilih untuk menginap di atas pokok keranan resort ini adalah satu-satunya tempat penginapan di Sarawak yang menyediakan tempat penginapan seumpamanya.

#6 Damai Puri Resort and Spa
Damai Puri
Damai Puri Resort and Spa terletak berdekatan dengan Permai Rainforest Resort dan ianya menawarkan kualiti penginapan yang lebih 'tinggi' jika dibandingkan dengan Permai Rainforest Resort.  Di Damai Puri, anda boleh berehat di dalam keadaan tenteram kerana hotel ini mengutamakan privasi pengunjungnya.  Selain daripada itu, Damai Puri juga memiliki kolam renang, gym, khidmat spa, gelanggang tenis dan banyak lagi bagi membolehkan percutian anda lengkap dan hebat.

#7 Riverside Majestic Hotel
Riverside Majestic
Hotel Riverside Majestic terletak berdekatan beberapa pusat membeli belah kecil di pusat Bandaraya Kuching. Ianya juga terletak berdekatan dengan Kuching Waterfront, dan pusat makanan laut terkenal, Top Spot.  Hotel ini khabarnya telah dinaik taraf, dan ianya sangat selesa untuk didiami.  Sungguhpun ianya mempunyai pemandangan terhad ke arah Sungai Sarawak, hotel ini dianggap baik kerana lokasinya yang berdekatan tarikan pelancong di Kuching.

#8 M Hotels (Dahulu dikenali sebagai 360 Urban Resort di Hotel Hock Lee Center)
M hotel
M Hotels terletak agak jauh dari pusat bandaraya namun disebabkan harganya yang berpatutan, ianya amat digemari pelancong ke Kuching.  Menurut komen-komen yang ditinggalkan di beberapa laman pelancongan terkenal, mereka amat suka akan keselesaan yang ditawarkan di hotel ini.  M Hotel juga mempunyai sebuah pusat membeli belah yang kecil di bawahnya, dan ini didapati amat memudahkan bagi ramai pengunjung.

#9 Tune Hotel Waterfront Kuching
Tune Hotel Kuching
Tune Hotel Waterfront Kuching terkenal di kalangan pengunjung yang suka akan harga murah.  Sungguhpun murah, lokasi Tune Hotel Kuching ini amat strategik, dimana ianya cuma terletak beberapa meter dari beberapa pusat membeli belah dan Kuching Waterfont.  Rata-rata pengunjug hotel ini memuji kehebatan kamar tidurnya dengan mengatakan bantal dan tilam yang disediakan empuk dan selesa.

#10 The Ranee Boutique Suits
Ranee 1

Ranee Boutique Suits merupakan hotel yang agak baharu di Bandara Kuching.  Ianya semakin popular di kalangan ramai pelancong kerana lokasinya yang terletak betul-betul di hadapan Kuching Waterfront, dan terletak bersebelahan pusat membeli belah Plaza Merdeka.  Selain itu, Ranee Boutique Suits juga terletak berdekatan banyak tarikan pelancong seperti Muzium Sarawak, Padang Merdeka, China Town (Jalan Carpenter) dan kedai-kedai kek lapis Sarawak (seberang Sunagi Sarawak).

Senarai sepuluh hotel ini sememangnya perlu diperbaharui selepas beberapa tahun, namun buat masa ini, hotel-hotel inilah yang dikatakan terbaik di sekitar Kuching.  Jika anda ingin menempah mana-mana hotel yang disebutkan diatas dengan harga murah, atau anda ingin membandingkan harga-harga hotel di sekitar Kuching, sila ke pautan ini.